Tuesday, 30 August 2016

DASAR BIASISWA HARUS DITAMBAHBAIK

  
Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera,

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-59.

Agak lama saya tidak menulis di blog ini.  Pertamanya, semasa cuti musim panas yang baru berakhir ini, saya menyiapkan sebuah buku, “Bahaya ISIS (DAESH)” yakni suatu dapatan awal kajian mengenai isu semasa dunia. Buku saya ini dilancarkan oleh DCP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Keganasan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 13 Ogos 2016 yang lalu semasa Seminar Ancaman Militan Daesh di Kuala Lumpur. Bidang kepakaran saya adalah keusahawanan dan pengurusan strategik. Mengapa saya mengkaji Pengganas ISIS@Daesh? Saya adalah orang awam yang hanya membaca berita-berita di dada akhbar tentang ISIS@Daesh tetapi tidak pernah ambil tahu tentang bahaya dan ancaman militan ISIS@Daesh. Buku pertama yang saya baca mengenai ISIS@Daesh adalah Refuting ISIS oleh Shaykh Muhammad al-Yacoubi, seorang ulamak ASWJ yang terkenal dan merupakan salah seorang dari 500 tokoh Islam kontemporari. Buku ini benar-benar membuka minda saya tentang bahaya dan ancaman ISIS@Daesh. Justeru itu, saya mengambil tanggungjawab sebagai seorang Muslim untuk mengkaji dan menhasilkan sebuah buku bertajuk Bahaya ISIS (Daesh).

Sepanjang enam hari di Malaysia, saya diberikan kesempatan berceramah/berforum mengenai "Bahaya ISIS@Daesh dan Tindakan Kita" di Seminar Ancaman Militan Daesh di Kuala Lumpur (13 Ogos 2016), Seminar Ancaman Militan Daesh di Universiti Sultan Zainal Abidin (15 Ogos), Forum Bahaya Militan Daesh di Universiti Utara Malaysia pada 16 Ogos 2016 (1000 pagi-1230 tgh), Seminar Bahaya Militan Daesh di Politeknik Metro Tasek Gelugor, Seberang Prai pada 16 Ogos 2016 (300-500 petang) dam Forum Bahaya Miltan Daesh di Politeknik Seberang Perai pada 16 Ogos juga (830 malam – 1015 malam). Saya sampai di Malaysia pada 12 Ogos 2016 dan kembali ke Amerika Syarikat pada 18 Ogos 2016. Alhamdulillah, walaupun hanya enam hari di Malaysia, dengan jadual yang penuh, badan yang penat, saya bersyukur ke hadrat Allah kerana dapat menyumbang sesuatu untuk negara. Insya-Allah, buku Bahaya ISIS@Daesh akan mempunyai edisi kedua, yang lebih lengkap dan padat.  Berbalik kepada tajuk artikel ini, Dasar Biasiswa Harus Ditambahbaik, ia merupakan satu artikel yang telah lama saya siapkan dan menunggu masa untuk diterbitkan di blog ini. Saya kira masa sekarang sesuai untuk diterbitkan, maka untuk itu saya paparkan penulisan ini.

Semenjak 1970-an, Kerajaan Malaysia telah menghantar begitu ramai anak Malaysia menyambung pengajian di luar negara, khususnya di bawah Biasiswa JPA dan MARA. Ratusan ribu graduan anak Malaysia dari  luar negara telah dihasilkan dari Dasar Biasiswa ini. Ia merupakan dasar yang begitu penting dalam melahirkan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara sama ada di sektor awam, mahupun swasta.  Justifikasi dasar ini ketika era 1970-an dan 1980-an berkaitan faktor penarik dan penolak. Dari segi faktor penariknya, kualiti pendidikan tinggi iaitu universiti-universiti di Barat khususnya ketika itu, adalah baik dan dipandang tinggi. Tenaga akademik yang berwibawa, kualiti pengajaran dan penyelidikan, kemudahan dan teknologi yang disediakan merupakan antara faktor menyumbang kepada dasar biasiswa dan penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara ketika itu, khususnya peringkat ijazah sarjanamuda. 

Selain itu, faktor kadar pertukaran matawang ketika itu dan kebolehan anak Malaysia dalam memahami dan menguasai Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua turut menyumbang.  Walaupun terpaksa berbelanja besar, pemimpin negara mempunyai iltizam yang tinggi untuk memiliki modal insan tempatan yang berkualiti, maka usaha ini diteruskan sehingga 1990-an. Negara masih berkemampuan menghantar ribuan pelajar setahun ke Amerika Syarikat dan United Kingdom khususnya. Malah, anak-anak Malaysia ini juga lebih mudah menyambung pengajian ke peringkat pasca siswazah, sama ada sarjana mahupun doktor falsafah ketika itu selepas saja tamat pengajian di luar negara. Dari segi faktor penolaknya, antaranya adalah Malaysia masih kekurangan universiti dalam melahirkan modal insan dan guna tenaga berkualiti dalam membangunkan negara. Sebelum 1985, hanya UM, USM, UKM, UPM, UTM, UIA dan UUM yang wujud dengan peratusan anak Malaysia (dalam setiap kohort) memasuki universiti dalam negara masih amat rendah. Apatah lagi, Malaysia masih kekurangan pelbagai bidang kepakaran sama ada dalam bidang sains dan teknologi mahupun sains sosial di universiti-universiti ini. Justeru itu, kerajaan berterusan menghantar anak Malaysia untuk mendalami ilmu di luar negara, membawa balik kepakaran dan pengalaman di luar negara ke dalam negara. Dasar ini ditambahbaik dengan kerajaan mula menghantar pelajar ke Jepun dan Korea melalui Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan pada tahun 1982.

Era 1990-an menyaksikan beberapa perubahan dasar dan strategi berkaitan pendidikan tinggi negara. Pendemokrasian dan liberalisasi pendidikan mengubah tanggungjawab pendidikan tinggi, bukan semata-mata menjadi obligasi kerajaan tetapi turut dikongsi oleh sektor swasta dan korporat. Penggubalan Akta IPTS 1996, penubuhan PTPTN dan Lembaga Akreditasi Negara (kini Agensi Kelayakan Malaysia) serta sokongan dasar fiskal membolehkan beratus kolej dan institusi pendidikan tinggi swasta ditubuhkan. Pada era selepas 2000, penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2004 oleh YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi (selepas itu bergabung dengan Kementerian Pelajaran pada tahun 2009 sebelum kemudian diperkenalkan semula sebagai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selepas pilihanraya umum 2013) memberikan impak besar terhadap pendidikan tinggi negara. Dengan pelbagai agensi dan jabatan dibawah seliaan KPT, strategi dan dasar pendidikan tinggi negara lebih jelas dan teratur di bawah satu Kementerian yang lebih terfokus. Impaknya ia mengubah Malayia daripada menjadi ‘pembeli dan pengguna pendidikan tinggi’ kepada ‘penjual dan penyedia pendidikan tinggi’ kepada dunia. Malaysia mempunyai lebih 130 universiti dan kolej universiti, lebih 1 juta enrolmen di IPTA dan IPTS, dan lebih 100,000 pelajar asing belajar di Malaysia. Kajian antarabangsa menunjukkan Malaysia memiliki dasar yang menarik, kualiti pengajian tinggi yang dikawalselia, infrastruktur yang lengkap dan kos pengajian yang kompetitif untuk Malaysia terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Malahan, sebahagian program pengajian di Universiti Penyelidikan di Malaysia telah mendapat kedudukan yang baik di peringkat dunia sama ada 50 terbaik, 100 terbaik, mahupun 200 terbaik. Hatta jika program pengajian di Malaysia tergolong dalam 300 terbaik masih boleh dianggap cemerlang jika dibandingkan dengan sekitar 10,000 universiti yang dinilai.

Berbalik kepada dasar biasiswa, sama ada ditawarkan olej JPA, MARA mahupun badan berkanun lain, perubahan senario di Malaysia dan dunia mewajarkan dasar berkaitan biasiswa ini ditambahbaik dari semasa ke semasa. Apabila JPA mengeluarkan dasar baru berkaitan biasiswa yang memperuntukkan pelajar membayar balik biasiswa dengan kadar tertentu jika berkhidmat dengan syarikat berkaitan kerajaan, swasta mahupun bekerja di luar negara, maka timbul pelbagai reaksi negatif dan positif dalam kalangan ahli politik, pemikir dan masyarakat. Ianya menjadi ‘lebih negatif’ apabila diumumkan dan dikuatkuasakan dalam tahun yang sama, maka ia ‘menjerat’ ibu-bapa yang mengharapkan anak-anak mereka mendapat biasiswa JPA untuk menyambung pengajian di luar negara. Apatah lagi kedapatan ibu-bapa yang telah berbelanja besar untuk mendapatkan universiti terbaik untuk anak mereka tetapi ‘tiada biasiswa’ untuk menampung pengajian anak mereka ini. JPA dan agensi lain seharusnya belajar daripada isu ini pada masa depan. Penulis berpandangan ini satu kelemahan kerajaan apabila menguatkuasa satu dasar ‘dengan segera’, tanpa memberi tempoh kepada mereka yang bakal dilibatkan dengan dasar ini. Dasar ini boleh diumumkan, tetapi dikuatkuasa 1-2 tahun selepas itu sebagai contoh.

Dari segi perubahan senario Malaysia dan dunia, khususnya apabila kita meneliti dasar biasiswa  semenjak 1970-an, mendapat biasiswa pada masa kini sepatutnya bukan menjadi hak istimewa pelajar cemerlang. Kerajaan berbelanja besar masa kini di mana kos menaja seorang pelajar sarjanamuda di luar negara dengan kos menaja seorang pelajar di dalam negara adalah sekitar 1:15-20, bergantung kepada universiti dan lokasi. Situasi semasa tidaklah sama dengan era 1970-an dan 1980-an di mana Malaysia masih terkebelakang.  Dengan kewujudan pelbagai universiti dan beberapa program pengajian bertaraf dunia di Malaysia masa kini, dengan peluang melanjutkan pengajian tinggi lebih luas dan terbuka, maka dasar Biasiswa ini sewajarnya ditambahbaik.

Pertamanya, sama ada biasiswa ini menjadi biasiswa sepenuhnya jika pelajar bekerja dengan kerajaan, maka inilah yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.  JPA (dan badan berkanun lain) seharusnya mencongak dan jelas tentang keperluan guna tenaga masa hadapan serta bidang yang menjadi keutamaan, maka pelajar yang dihantar ini perlu dihantar dalam bidang yang menjadi keutamaan guna tenaga kerajaan serta diharapkan untuk kembali berkhidmat dengan kerajaan apabila bergraduat kelak. Ini selaras dengan dasar menjadikan sektor kerajaan sebagai sektor kerja yang kompetitif berbanding sektor swasta. Penambahbaikan skim perkhidmatan awam dalam  tempoh 10 tahun yang lepas boleh dikatakan berjaya menjadikan sektor awam sebagai pilihan kerja para graduan masa kini. Ini dapat dilihat dengan bilangan pemohon untuk satu-satu jawatan kosong di sektor awam, tangga gaji permulaan yang kompetitif, pelbagai elaun yang dinikmati serta manfaat kewangan dan bukan kewangan yang diperolehi oleh kakitangan awam masa kini.

Keduanya tentang bayaran balik dalam peratusan tertentu jika bekerja di GLC mahupun sektor swasta (25% & 50%), penulis berpandangan ia tidaklah sesuai kerana jumlah biasiswa yang ditukar ke pinjaman ini amatlah besar (akibat kadar pertukaran matawang, jumlah yuran pengajian dan kos sara hidup yang ditaja), jauh lebih besar daripada PTPTN dan dengan permulaan gaji sekitar RM3,000-RM4000 bagi graduan masa kini, maka graduan tajaan JPA akan terbeban dengan hutang ini dengan begitu lama. Dengan PTPTN sebagai sebuah badan berkanun sendiri menghadapi masalah dalam mengutip hutang, apakah JPA boleh memberi jaminan ia mampu mengutip hutang ini daripada graduan tajaannya?  Begitu juga dengan bayaran balik penuh biasiswa jika graduan bekerja di luar negara, pengalaman penulis menunjukkan begitu sukar pihak kerajaan mengutip hutang daripada individu-individu ini. Apakah governans dan kecekapan semasa membolehkan JPA mengutip hutang daripada graduan tajaannya, sama ada 25%, 50% mahupun 100%? Dengan dasar biasiswa ini dilaksanakan melebihi 30 tahun, banyak kerugian di pihak kerajaan apabila anak Malaysia ini tidak kembali berkhidmat di negara sendiri selain jutaan wang dibelanjakan untuk para graduan ini.

Cadangan pertama adalah pihak kerajaan mengurangkan bilangan penerima biasiswa ijazah sarjanamuda ke universiti luar negara dan semua graduan tajaan kerajaan diwajibkan berkhidmat dengan sektor awam dalam tempoh tertentu. Jika 1,000 pelajar luar negara ditaja, dengan jumlah biasiswa yang sama, JPA mampu menaja 15,000 pelajar untuk universiti dalam negara. Kos melepasnya adalah begitu besar untuk menaja seorang pelajar ke luar negara. Untuk menambahbaik dasar biasiswa, maka dasar sedia ada boleh diperkemaskan dengan menghantar pelajar ke universiti terbaik dunia dan/atau program pengajian terbaik dunia. JPA dan KPT telah menerimapakai THE World University Rankings dan QS World University Rankings sebagai salah satu kriteria pemilihan universiti. Dicadangkan tanda aras seperti 50 Universiti terbaik dunia oleh THE World University Rankings atau 50 program terbaik dunia oleh QS World University Rankings boleh dijadikan garis panduan dasar ini (sebagai contoh).  Dalam masa yang sama, pemilihan pelajar program sarjanamuda ini harus lebih meluas dan bersepadu. Tidak sekadar bergantung kepada pencapaian akademik, aspek kepemimpinan, kestabilan emosi, kecintaan kepada negara, keutuhan jatiditi dan keunggulan rohani boleh diambilkira. Tidak cukup dengan kursus BTN selama seminggu dalam memupuk perkara ini. Lebih baik kita bersusah sedikit memilih pelajar tajaan, asalkan hasil akhirnya baik dan cemerlang. Ini mengambilkira undang-undang dan sosiobudaya yang berbeza di negara luar dan mengelakkan pelajar terlibat dengan pelbagai masalah sosial seperti bersekedudukan, ketagihan ganja, minum arak, clubbing dan sebagainya. Dengan perbelanjaan yang besar, modal insan yang diharapkan kembali membantu negara pulang dan kemungkinannya membawa gaya hidup bebas, rosak akhlak, rendah moral dan diliputi pelbagai masalah emosi, rohani dan sosial.

Kerajaan memerlukan profesional dan teknokrat muda yang mendapat ilmu, pendedahan dan pengalaman dari universiti terbaik dunia untuk membantu merangka dan menjalankan dasar dan program dengan lebih cekap dan berkesan. Oleh itu, jika anak Malaysia mengharapkan biasiswa JPA untuk ke luar negara, mereka seharusnya bekerja keras untuk mendapat tempat di universiti/program pengajian terbaik dunia dan sanggup menyumbang khidmat bakti kepada negara apabila bergraduat kelak. Jadinya, tidak timbul isu graduan tajaan JPA contohnya tidak mahu bekerja di sektor awam ataupun tidak pulang ke Malaysia.

Sebagai anak MARA, penulis menyokong Biasiswa MARA diteruskan untuk anak Bumiputera yang berkelayakan. Namun, pemilihan pelajar harus lebih kompetitif dan telus agar pelajar yang dihantar benar-benar terpilih dan terbaik dari pelbagai aspek.  Dasar yang memberikan keutamaan kepada anak Golongan B40 seharusnya diteruskan dan diperkasakan. Sudah sampai masanya golongan Bumiputera yang mampu tidak memohon biasiswa MARA untuk anak mereka dan MARA sendiri tidak menaja anak Bumiputera dalam kalangan golongan yang berkemampuan. Begitu juga dengan pemilihan universiti harus ditambahbaik agar pelajar menyambung pengajian hanya di universiti/program terbaik.  Dalam masa yang sama, pemilihan negara dan universiti yang mempunyai kos tidak setinggi universiti terbaik boleh diteruskan asalkan program pengajiannya mencapai standard antarabangsa. Contohnya, pemilihan universiti di negara seperti Jepun, Korea, Peranchis dan Jerman harus diteruskan demi meningkatkan profesional dan teknokrat dalam kalangan Bumiputera.

Keduanya, dasar biasiswa (seperti Hadiah Latihan Persekutuan, Skim Latihan Akademik Bumiputera/Skim Latihan Akademik IPTA) seharusnya lebih fokus kepada usaha meningkatkan ilmu, pengalaman dan kompetensi pegawai kerajaan sedia ada dengan membuka lebih banyak peluang biasiswa untuk kakitangan kerajaan melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah di universiti luar negara, berbanding ijazah prasiswazah yang belum tentu pelajar ini berkhidmat sebagai penjawat awam. Ini kerana pegawai kerajaan merupakan teras kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Mereka memberikan idea, mengumpul maklumat, merancang dan melaksana dasar, menilai keberkesanan program dilaksanakan kerajaan, menjadi nadi, mata dan telinga kepada kerajaan, maka seharusnya Malaysia memerlukan pegawai kerajaan yang berkualiti tinggi, mencapai dan melebihi standard negara maju. Peruntukan biasiswa untuk pegawai kerajaan melanjutkan pengajian harus diperbanyakkan, pelbagai program pengajian yang berkualiti harus disasarkan dan ini juga bergantung kepada kepakaran yang diperlukan dalam pelbagai Kementerian, Jabatan dan agensi kerajaan. Apatah lagi, pegawai kerajaan yang pulang dengan ijazah sarjana dan kedoktoran akan berkhidmat semula dengan kerajaan, tidak ramai yang keluar dari sektor perkhidmatan awam, maka konsep Pulangan Atas Pelaburan Pendidikan akan dapat diperolehi.

Antara penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah menggalakkan kakitangan awam  menyambung pengajian di luar negara, khususnya bagi mereka yang belum berpengalaman belajar di luar negara. UKM contohnya mempunyai ‘polisi tidak rasmi’ menggalakkan tenaga akademik mendapatkan salah satu ijazah daripada tiga ijazah dari universiti luar negara. Dalam masa yang sama, pegawai kerajaan gred 52 atau 54 contohnya diperlukan memiliki ijazah sarjana sekurang-kurangnya sama ada dari dalam negeri mahupun luar negeri. Seterusnya, Dasar baru boleh diperkenalkan dengan mensyaratkan Ketua Setiausaha memiliki ijazah doktor falsafah, 7-10 tahun dari sekarang (sebagai contoh). Begitu juga dengan jawatan lain seperti Pengarah Pendidikan Negeri, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Dasar di Kementerian dan juga pelbagai jawatan pengurusan kanan yang lain di pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan, asalkan tidak terus dilaksana tetapi memberi tempoh yang munasabah kepada pegawai sedia ada.

Dalam dasar berkaitan biasiswa ke luar negara untuk pegawai kerajaan sedia ada (pasca siswazah), pihak kerajaan harus lebih terbuka dengan menghantar pegawai ke pelbagai negara, tidak hanya mensasarkan 50 universiti terbaik dunia atau 50 program terbaik dunia sahaja (sebagai contoh). Kajian mengenalpasti graduan yang mendapatkan pengajian di luar negara membawa pelbagai ilmu, kemahiran dan pendedahan apabila balik ke negara masing-masing. Mereka juga membawa pengalaman hidup, nilai-nilai dan amalan terbaik, dan jaringan antarabangsa untuk dibawa balik, dikongsi dan dipraktiskan di negara masing-masing.  Untuk itu, kerajaan boleh mengenalpasti sejumlah negara dan universiti di negara tersebut di mana pegawai kerajaan boleh dihantar untuk menyambung pengajian peringkat pasca siswazah. Contohnya adalah negara OECD terpilih yang terkenal dengan kepakaran tertentu.  Kriteria universiti terpilih di negara OECD ini seharusnya lebih luwes tetapi memenuhi standard antarabangsa seperti 8 universiti terbaik di Australia, 5 universiti terbaik di New Zealand, 30 universiti terbaik di UK, dan 50 universiti terbaik di Amerika sebagai contoh. Malaysia memerlukan kepelbagaian dan kerencaman guna tenaga awam yang boleh memberikan pelbagai input yang berguna dalam perencanaan dan pelaksanaan pelbagai dasar.

Antara sebab pegawai kerajaan kurang berminat menyambung pengajian ke luar negara adalah jumlah biasiswa yang kurang memberangsangkan, malah adakalanya tidak mencukupi.  Situasi dihadapi pegawai kerajaan untuk menyambung pengajian tidak sama dengan pelajar yang menyambung ijazah sarjanamuda di mana pelajar sarjanamuda ini belum mempunyai beban kewangan semasa. Kebiasaannya, pegawai kerajaan yang bercuti belajar akan mempunyai tanggungan kewangan seperi pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, potongan Tabung Haji/KWSP, peruntukan Takaful Pendidikan dan Takaful Kesihatan untuk diri dan keluarga, peruntukan untuk ibu-bapa, selain belanja-belanja lain yang menjadikan baki gaji akhir tidaklah sebesar mana. Pelajar sarjanamuda boleh berkongsi rumah untuk menjimatkan kos tetapi pegawai kerajaan biasanya sudah berkeluarga dan perlu menyewa sebuah rumah dan ini meningkatkan kos sara hidup mereka di luar negara. Dengan biasiswa luar negara yang kurang memberangsangkan dan baki gaji bulanan yang tidak sebesar mana (kebiasaannya pegawai cuti belajar  hanya dibayar gaji pokok), maka dasar semasa kurang memberikan inspirasi kepada pegawai kerajaan melanjutkan pengajian di luar negara (mungkin juga dalam negara), malah mungkin kurang memotivasi untuk menyambung pengajian akibat hilang kekananan dalam jawatan ataupun ditukarkan tempat kerja selepas kembali dari cuti belajar.

Oleh itu dicadangkan pihak kerajaan, yang meliputi JPA, KPT, Education Malaysia, badan berkanun terlibat, Kedutaan Malaysia di luar negara dan lain-lain agensi boleh bekerjasama untuk sentiasa menambahbaik kadar biasiswa setiap tiga ke lima tahun sekali. Dunia teknologi masa kini membolehkan kos sara hidup diketahui dan ditentukan setiap tahun mengikut bandaraya dan bilangan ahli keluarga, bukan sekadar mengikut negara atau wilayah/negeri. Ini perlu diambilkira dalam menjustifikasi jumlah biasiswa kepada penjawat awam. Pelbagai elaun berkaitan cuti belajar (seperti elaun penempatan, elaun perkakas dan elaun akhir pengajian) harus dilihat semula agar ia memberikan kos sebenar, bukan sekadar anggaran. Begitu juga dengan pelbagai elaun lain seperti elaun sara hidup, elaun penginapan, bantuan sewa rumah dan elaun bantuan keluaga perlu dikaji dan diteliti agar lebih realistik, khusunya mengikut negara, wilayah, bandaraya,  dan bilangan ahli keluarga. Dalam masa yang sama, elaun cuti belajar dalam negara yang harus dinilai semula setiap  5 tahun, jenis dan jumlah elaun yang diberikan agar pegawai tidak terbeban semasa menyambung pengajian. Persepsi penjawat awam bercuti belajar ‘dianggap bercuti’ perlu diubah kerana mereka tetap membawa imej penjawat awam dan negara, malah sentiasa terikat dengan peraturan, tatacara dan etika penjawat awam ‘semasa cuti belajar’.

Dalam pada itu, elaun buku (dalam negara atau luar negara) boleh dibahagikan kepada jenis pengajian dan tahap pengajian, bukannya secara ‘lump sum’ yang diamalkan sekarang. Dalam dunia yang semakin canggih, ‘One size fits all policy’ semakin kurang relevan. Pegawai yang mengikuti program sarjana dengan penyelidikan umumnya memerlukan lebih banyak buku dan bahan rujukan berbanding mereka yang mengikuti program sarjana secara kerja kursus. Pegawai yang melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran, sub-kepakaran dan pasca kedoktoran umumnya memerlukan lebih banyak buku dan bahan rujukan berbanding program sarjana.  Dalam masa yang sama, Elaun Penyelidikan secara tahunan atau bulanan boleh diperkenalkan dan diberikan kepada pegawai yang menyambung pengajian pasca siswazah dengan penyelidikan dan jumlahnya berbeza antara sarjana dan kedoktoran/pasca kedoktoran.  Begitu ramai pegawai kerajaan yang menghabiskan wang simpanan sendiri, malah ada yang membuat pinjaman peribadi dalam menghabiskan penyelidikan mereka dan berkorban untuk negara demi menamatkan pengajian masing-masing.

Dalam pada itu, dasar yang baik tidak seharusnya mengabaikan aspek kompetitif. Maka penjawat awam yang mendapat tempat untuk menyambung pengajian peringkat pasca siswazah di 50 Universiti/Program Terbaik Dunia contohnya (mengikut THE/QS World University Rankings) boleh diberikan insentif khas berupa Insentif Khas Universiti/Program Terbaik yang diberikan secara bulanan atau tahunan.  Memang tidak mudah mendapat mendapat tempat di universiti/program terbaik dunia dan memang ‘ada bezanya’ menyambung pengajian di universiti terbaik dunia. Maka insentif ini diyakini dapat memotivasi penjawat awam Malaysia untuk mendapat pendidikan terbaik di dunia. Dalam masa yang sama, dasar pemilihan universiti mengikut ranking THE atau QS perlu mempunyai sedikit keluwesan. Universiti Al-Azhar yang dianggap universiti terbaik dunia dalam pengajian Islam ‘tidak akan’ mendapat tempat yang baik dalam ranking ini kerana ‘acuan Barat’ dan pelbagai sebab lain. Justeru itu, perlu ada insentif dalam bidang tertentu untuk pegawai kerajaan menyambung pengajian ke universiti tertentu yang dikenai sebagai terbaik dalam bidangnya. Kelonggaran dan pengecualian dalam pemilihan universiti mengikut bidang kepakaran tertentu perlu diperkenalkan.

Selepas hampir 20 tahun tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi dikongsi dengan sektor swasta, maka dasar baru perlu dirangka agar tanggungjawab menyediakan biasiswa ini, sama ada di peringkat prasiswazah mahupun pasca siswazah, di dalam negeri dan di luar negara, dikongsi oleh sektor swasta/korporat dengan lebih efektif. Apatah lagi, sebahagian besar guna tenaga Malaysia berada dalam sektor bukan kerajaan. Kerajaan dicadangkan mengkaji dan mewujudkan dasar dan insentif fiskal untuk sektor swasta/korporat menyediakan biasiswa untuk anak Malaysia melanjutkan pengajian di dalam negara mahupun di luar negara. Tidak dinafikan banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan badan korporat yang mempunyai biasiswa untuk pelajar, tetapi insentif fiskal boleh merangsang lebih banyak peluang biasiswa diwujudkan dan lebih ramai anak Malaysia untuk bersaing mendapatkan biasiswa dan melanjutkan pengajian, khususnya di universiti/program terbaik dunia. Dasar atau insentif ini juga seharusnya menggalakkan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menghantar tenaga akademik mereka menyambung pengajian di dalam negara dan luar negara, khususya di perigkat pasca siswazah. Dasar sedia ada seperti Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) mungkin boleh ditambahbaik untuk mencakupi biasiswa ataupun Dana Baru (seperti modus operandi HRDF) boleh ditubuhkan untuk membiayai biasiswa anak-anak Malaysia yang kompetitif menyambung pengajian di universiti terbaik. Dalam masa yang sama, insentif cukai dan bukan cukai berkaitan Takaful/Insurans Pendidikan perlu diperkemaskan untuk meningkatkan caruman/tabungan ini dan mengurangkan kebergantungan rakyat kepada biasiswa kerajaan dan swasta (serta pinjaman PTPTN) dalam jangka panjang.

Malaysia yang maju bergantung kepada modal insan sektor awam dan sektor swasta yang kompetitif. Penghantaran pelajar, pegawai dan warganegara dari sektor awam mahupun swasta untuk menyambung pengajian di universiti/program terbaik dunia, juga di dalam negara bakal melahirkan modan insan dan guna tenaga yang berkualiti dan memenuhi atau melebihi standard antarabangsa yang akan memacu negara ke era lebih gemilang. Memandangkan biasiswa merupakan salah satu faktor kejayaan kritikal kepada penghasilan modal insan bertaraf dunia ini, maka dasar biasiswa seharusnya sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment