What : Team Building For High Stakes Environments
When : 24 Jan 2017 : 500-600pm
Where : Level 8, JMHH
Who : Jeff Ashby, Astronout (NASA)
Assalamu'alaikum,
Alhamdulillah, pada 24 Januari 2017, Hari Selasa, saya sempat mengikuti satu ceramah oleh bekas Angkasawan NASA, Jeff Ashby. Saya agak letih kerana datang ke pejabat sejak awal pagi, tetapi tetap menggagahkan diri untuk tunggu sampai petang untuk mendengar dari mulut angkasawan sendiri. "Ini peluang sekali seumur hidup, letih macam manapun saya perlu bertahan dan menguatkan diri", kata hati saya. Jeff dua kali menaiki Kapal Angkasa Atlantis sebagai krew dan sekali sebagai Komander ke Stesen Angkasa Lepas (ISS). Kehadiran pendengar dalam dewan kuliah adalah penuh, saya anggarkan dalam 160 orang.
Sebelum berceloteh mengenai pengalamannya ke ISS dan Pembinaan Pasukan di Lembah Canyon Utah, beliau memberikan sedikit maklumat di mana ISS adalah sebesar sekitar 3 padang bola, bergerak selaju 18,000 batu sejam, krew ISS melihat matahari terbit dan terbenam setiap 45 minit sekali, Wow!!! Tempoh kapal angkasa Atlantis untuk sampai ke orbit hanyalah lapan minit, bayangkan kelajuannya, dan apabila sampai ke orbit, Atlantis mengambil masa selama 2 hari mengorbit bumi untuk sampai di ISS, dengan pusat kawalan utama adalah dari Houston, bukannya mereka boleh mengemudi sendiri Atlantis untuk sampai ke sana.
Antara cabaran sebagai angkasawan adalah apabila mula memasuki angkasa, badan mula sakit, tidur yang tidak cukup, "We are all human being, just like you", kata Jeff. Apabila jarak Atlantis mendekati ISS, komputer yang akan mengira bagaimana untuk bercantum dengan ISS. Antara pengalaman menarik beliau adalah semasa menjadi Komander apabila Atlantis mempunyai masalah untuk mendekati dan bercantum dengan ISS kerana sesuatu yang tidak kena dengan data-data yang dijana. Mereka perlu membuat keputusan dengan pantas. Beliau menghubungi Pusat Kawalan di Houston untuk meminta pandangan, tetapi jawapannya adalah "Do what you think is right"...ha3... Dalam masa beberapa minit, beliau bertanya kepada krew lain, dan semua krew yakin dengan kebolehan beliau sebagai komander, dan mereka mengambil keputuan untuk merapati ISS secara manual ,mengikut pengalaman yang ada dan berjaya bercantum dengan ISS.
Mengenai latihan pembinaan pasukan di Lembah Canyon, ia adalah latihan keenam-enam angkasawan sebelum mengikuti misi Atlantis ke ISS. Mereka perlu saling kenal-mengenali sebelum bersama-sama dalam satu misi merbahaya. Latihan ini dijalankan selama 11 hari, dalam cuaca yang agak sejuk dengan beberapa jurulatih pengiring yang berpengalaman di Canyon bersama mereka. Tiga isi utama dari Jeff tentang pembinaan pasukan:
1)Leaders must know when to follow.
Jeff menceritakan bagaimana mereka melantik dua orang pemimpin bersama (co-founders), dengan setiap seorang memimpin satu hari, maka beliau sebagai ketua hanya akan memimpin di hari ketiga sebelum pusingan itu berulang kembali. Ia satu prinsip yang baik, kita tidak tahu semuanya, tidak arif semuanya. Dalam sebahagian besar kehidupan kita, kita perlu tahu di mana kita perlu bertindak sebagai pengikut yang baik. Pemimpin politik dan pegawai tinggi kerajaan patut faham bab ini. Dalam urusan yang kita tidak arif, tidak pakar, biarlah kita menjadi pengikut sahaja.
2)You don't need a title to be a leader.
Saya setuju dengan ini. Malaysia masih terlalu birokrat dan agak feudal dalam beberapa perkara. Anugerah, gelaran, pangkat, kedudukan, amat penting dalam masyarakat Malaysia. Saya tidak minta ianya dibuang terus dari amalan di Malaysia. Cuma RSAW sendiri sebagai seorang pemimpin, kekasih Allah, seorang Ketua Kerajaan, seorang ketua keluarga, seorang jeneral tentera, adalah manusia yang bercampur-baur dengan sekalian ahli masyarakat. Yang membezakan manusia hanyalah iman dan taqwa sahaja. Sekiranya pemimpin kerajaan, swasta, agama dan masyarakat dapat 'membuang sekejap' segala 'Anugerah, gelaran, pangkat, dan kedudukan mereka', bergaul dengan masyarakat tanpa banyak halangan dan sekatan, saya yakin, kita akan lebih cepat dan pantas dalam memajukan negara. Natijahnya juga, rakyat, pekerja, ahli masyarakat akan lebih rapat dan hormat dengan para pemimpin mereka.
3)Leaders should understand before they respond.
Dalam hal ini, beliau menceritakan bagaimana mereka mengalami masalah dengan seorang angkasawan Rusia yang turut bersama dalam latihan dan misi kelak. Pada haru kesepuluh, semua ahli sudah letih, dengan cuaca sejuk, dengan Bahasa Inggeris yang kurang baik, beberapa konflik yang timbul dengan angkasawan Rusia ini menyebabkan Jeff berfikir 'untuk menggugurkan' angkasawan Rusia ini dalam misi mereka kemudiannya. Namun beliau menukar keputusan di saat-saat akhir apabila dalam sesi komunikasinya dengan penterjemah kemudiannya, beliau memahami maksud angkasawan Rusia tersebut iaitu apabila angkasawan tersebut mengatakan "No", ia bermaksud "You must not". Komunikasi sentiasa menjadi halangan kita untuk membuat keputusan yang betul. Memahami situasi dan perpektif orang lain adalah penting bagi seseorang pemimpin agar keputusan yang diambil telah mengambilkira pelbagai keadaan dan situasi yang wujud, serta masalah-masalah yang bakal timbul telah diteliti serta jalan penyelesaian dan tindakan pembetulan telah dirancang untuk menghadapi sesuatu masalah baru akibat sesuatu keputusan.
Ada masa sedikit untuk sesi soal-jawab. Ditanya apa yang paling penting dalam pembinaan pasukan, Jeff menjawab "Trust". "Trust is the difference between a team and high-performing team". "Built trust in your team". "Have a reading on trust". Beliau mencadangkan beberapa buku mengenai "Trust" untuk dibaca oleh hadirin. Jeff juga percaya mengenai 'Situational Leadership". Katanya, sememangnya kita mempunyai gaya tertentu yang dominan dalam kepemimpinan, tetapi setiap masalah dan keputusan yang kita hadapi dalam kehidupan kita memerlukan gaya kepemimpinan berbeza-beza kerana segala faktor dan keadaan terhadap setiap permasalahan dan keputusan adalah tidak sama. Faham ke? Sebelum mengakhiri ceramah, beliau mengucapkan selamat berjaya kepada beberapa pelajar Wharton yang akan mengikuti latihan 'Team Building' di Lembah Canyon kelak. Ceramah beliau habis tepat jam 600 petang, memang padat dan bermanfaat. Saya bergegas turun ke tingkat bawah, mencari ruang kosong dan sesuai, menebarkan jaket tebal saya di lantai untuk digunakan 'sebagai sejadah', bersolat Maghrib, dan selepas itu pulang ke rumah dalam suhu yang semakin sejuk. Wassalam.
Ruang dalam kapal angkasa untuk angkasawan memang terbatas. Dua hari mereka mengelilingi bumi berpuluh kali sebelum bercantum dengan ISS.
Gambar ISS dari jauh sebelum bercantum dengan Atlantis. Kedua-dua ISS dan Atlantis mengorbit bumi dalam kelajuan yang amat tinggi, jadi bukanlah mudah untuk kedua-duanya bertemu dan bercantum. Ia memerlukan latihan dan persediaan yang cukup rapi, memang tidak semua orang boleh menjadi angkasawan. Hanya manusia yang terpilih sahaja.