Saturday, 15 October 2016

Leadership and Entrepreneurial Thinking by James Dinan (York Capital Management)

Leadership and Entrepreneurial Thinking by James Dinan (York Capital Management)
WHO: James Dinan (Founder and CEO York Capital Management)
WHEN:   September 28, 2016
WHERE:  SHDH 350

Assalamu'alaikum,

Alhamdulillah,  kami baru melepasi cuaca amat sejuk pada 16 Disember 2016, iaitu semalam  dengan cuaca mencecah negatif lapan celcius. Pada malam 16 Disember 2016 pun salji turun kali pertama di Philadelphia dalam musim sejuk ini. Saya memang tak tahan sejuk. Kalau di Malaysia, penghawa dingin 18 celcius pun saya dah tak tahan, inikan pula di bawah paras beku. Bilik saya di FEP UKM biasanya saya buka tingkap sebab tidak mahu suhu sejuk penghawa dingin menjejaskan kesihatan saya. Saya tidaklah terlalu konservatif tetapi tubuh badan yang sering dimanjakan dengan penghawa dingin memang tidak baik untuk kesihatan jangka panjang. Seorang rakan saya, Rosli, pengamal perubatan tradisional mengatakan penghawa dingin ini 'udara buatan', tidak baik untuk kesihatan...he3... Saya sering mengingatkan diri sendiri bahawa tubuh badan ini nak dipakai seumur hidup, jagalah ia sebaik-baiknya. Untuk menghadapi cuaca di bawah paras beku, saya perlu memakai Long John sebagai pakaian dalam. Long John pun banyak jenis, perlu pilih Long John yang sesuai untuk suhu -10 Celcius sekurang-kurangnya. Kemudian tidak sesuai pakai seluar slack kerana nipis, sebab itu di negara 4 musim, biasa kita lihat orang memakai seluar Jeans kerana ia lebih tebal dan tahan cuaca sejuk. Saya pun tak banyak bawa seluar tebal ke USA, jadi belilah juga beberapa helai Jeans bila harga diskaunnya amat murah. Untuk berada di luar rumah ketika cuaca di bawah paras beku, biasanya saya memakai 4 helai baji, iaitu Long John, baju kemeja tangan panjang atau Baju T lengan panjang, baju panas dan jaket musim sejuk. Apabila sampai di Wharton, dua baju luar dibuka. Selain itu, kalau suhu di bawah 0 celcius, saya akan memakai 'balaclava', sejenis topeng muka yang biasa digunakan oleh Polis UTK di Malaysia. Balaclava penting kerana ia melindungi kepala dan tengkuk terutamanya apabila angin datang ke muka, memang tak tahan. Kalau tak pakai Balaclava, telinga rasa amat sakit kerana cuaca sejuk, tangan pun sakit kalau tidak memakai sarung tangan yang sesuai. Gambar di bawah merupakan gambar saya sebelum ke Wharton pada Jumaat lepas (16 Disember 2016). 



Pada 28 September 2016 yang lalu, saya sempat menghadiri satu ceramah oleh alumni Wharton juga seorang usahawan dan jutawan iaitu James Dinan. Saya tidak menerima emel mengenai ceramah ini kerana saya di bawah Wharton Entrepreneurship dan Management Department tetapi saya terperasan ceramah ini di skrin Wharton yang terdapat di merata-rata tempat. Ceramah ini dianjurkan oleh The Alternative Investment Initiative, di bawah Jabatan Kewangan. Graduan Wharton memang dari dahulu paling terkenal dalam industri kewangan dan perbankan. Dari segi ranking dunia dalam bidang perniagaan, Wharton biasanya berada dalam Top 5, kalau jatuh pun masih Top 10. Dalam bidang keusahawanan, Wharton berada dalam kedudukan nombor lima/enam terbaik di USA dengan Babson College di nombor satu. Saya sebenarnya tidak begitu pentingkan ranking, tetapi saya ambil positif ranking sebagai satu rangsangan untuk kita terus bekerja keras. Nak tolak ranking pun tidak boleh, setelah berada selama 14 bulan di Wharton dan UPenn, saya boleh katakan Wharton dan UPenn memang ada kelebihan tersendiri sebagai antara universiti Ivy League dan Universiti terkemuka di dunia (Biasanya Top 20). Jika kita menolak ranking secara mutlak, kita tidak mempunyai tanda aras universiti terbaik dunia atau dalam bidang masing-masing. Apabila kita tiada tanda aras, maka dengan siapa kira harus ukur kemajuan dan prestasi kita dan bagaimana kita merencana langkah untuk maju ke depan.

Lihat gambar di bawah, purata gaji tahunan graduan Wharton (sarjanamuda) adalah $81,402  setahun iaitu sekitar $6783.50 sebulan, memang tinggi tu. Gaji guru di sekolah rendah di Philadelphia bermula sekitar $3300++. Untuk hidup sebagai orang bujang di Philadelphia dan tidak termasuk dalam golongan miskin, anda perlu memiliki pendapatan minimum $2,150 sebulan. Saya beberapa kali berurusan dengan bank di Philadelphia, layanan kaunter dan perkhidmatan peribadi memang amat memuaskan. Purata graduan Wharton menerima 2.2 tawaran pekerjaan, tinggi tu dengan kita di Malaysia yang graduan masih teraba-raba mencari peluang pekerjaan selepas tamat belajar. Dari itulah pelajar sanggup berhutang untuk memasuki universiti terkemuka di Amerika Syarikat walaupun yurannya tinggi kerana dengan gaji yang tinggi selepas tamat belajar, mereka mampu melangsaikan hutang-huang tersebut dalam masa beberapa tahun sahaja selepas tamat pengajian, rasanya tidak sampai 3 tahun bagi graduan MBA!!!

No automatic alt text available.


James Dinan mendapatkan ijazah Sarjanamudanya dari Wharton dan MBA dari Harvard (HBS). Bagi beliau, beliau 'bernasib baik' kerana dapat memasuki Wharton dan lulus pada tahun 1981 sebelum lulus MBA dari HBS pada tahun 1985. Syarikat beliau, York Capital Management mengurus dana sebanyak USD$20 bilion. Ditanya tentang syarikat dan industri yang beliau ceburi, beliau menyatakan "Starting Hedge Fund is very much entrepreneur", "Leadership is harder than finance", "E" (Entrepeneurship) is interesting and scary"...he3. Ramai orang minat berniaga dan ingin berjaya sebagai usahawan, tetapi tidak ramai yang sanggup bekerja keras untuk berjaya, seperti bekerja 12-18 jam sehari dalam tahun-tahun awal perniagaan. Satu dapatan kajian yang hampir sama di mana-mana negara adalah dalam 5 tahun pertama perniagaan dimulakan, hanya 5-20% sahaja perniagaan yang mampu bertahan. Peratusan ini berkurangan apabila dilihat dalam tempoh 10 tahun , ianya menjadi antara 5-10% sahaja. Selepas tempoh 10 tahun, perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang mampu bertahan dan berkembang. Malahan, perniagaan yang mampu berkembang dalam 10 tahun pertama usianya menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak berbanding peluang yang disediakan oleh perniagaan baru. Sebab itu, jika ditanya pada saya, saya setuju insentif memulakan perniagaan perlu ditambah tetapi insentif fiskal dan dasar untuk perniagaan yang berkembang adalah lebih penting kerana ia menyediakan peluang perniagaan yang lebih banyak kepada rakyat.


Di peringkat awal kerjanya, beliau terlibat dalam M&A (Merger And Acquisition) di antara penggiat-penggiat industri minyak dan gas di USA dan ini memberikan beberapa pengalaman bermakna. Kata beliau lagi "Don't let the starting salary as an obstacle". Saya fikir ini penting dalam kalangan graduan di Malaysia. Maklumat kajian menunjukkan ramai graduan mengharapkan gaji tinggi dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang  sedikit di dalam industri yang mempunyai lebihan graduan berbanding permintaan!!!  Begitu juga dengan memulakan perniagaan, jangan mengharapkan anda mendapatkan gaji/pendapatan yang tinggi di peringkat awal.  Yang penting adalah gaji awal anda mampu memenuhi keperluan asas iaitu makan-minum, pakaian, tempat tinggal (sewa bilik), telekomunikasi, pengangkutan dan ibu-bapa. James Dinan juga berpesan "Always have the career option" dan "Don't sell yourself too cheap".  Ini juga penting kerana jika anda memulakan perniagaan, perniagaan anda tetap ada risiko gagal, jadi anda perlu mempunyai pilihan lain. Begitu juga jika bekerja dengan sektor swasta, perlu sentiasa ada pilihan. Jangan menjadikan jumlah gaji dan elaun bulanan sebagai perkara terpenting, banyak lagi faktor perlu dilihat seperti manfaat-manfaat dalam pekerjaan (klinik panel, jumlah dan jenis cuti, insurans/takaful kesihatan, rawatan kesihatan untuk keluarga, pinjaman peribadi dll), khususnya jika anda mempunyai banyak pilihan pekerjaan.

Mengenai masa memulakan perniagaan, beliau menyatakan "That is never a good time to start a firm", "Not too wait too long" and "You're going to learn so much in your job". Itu pengalaman beliau. Dalam sesetengah indusri, 'timing' adalah penting, tetapi dalam sebahagian industri yang lain, "Just do it"... Pandangan saya adalah jika anda mempunyai produk/perkhidmatan yang unik dan berbeza dengan sasaran pelanggan yang jelas dan fokus pasaran yang besar, mengapa tidak? Sebahagian besar usahawan memulakan perniagaan selepas memiliki pengalaman yang mencukupi dalam industri, biasanya selepas 5-10 tahun dalam industri. Ini dilakukan setelah mengetahui aspek teknikal, jaringan, rantaian bekalan nilai, sasaran pelanggan, dll, dan sudah pasti kerana memiliki produk yang sesuai.

James Dyan memulakan perniagaannya dengan modal USD$2.5 juta. Beliau melakukan segala-galanya seperti buang sampah, datang bekerja pada hari Ahad,  tahu semua fungsi penting dalam perniagaannya, menjadi 'receptionist', dan berkongsi bilik dengan pekerjanya. Ini betul-betul usahawan. Jangan mengharapkan perniagaan anda macam korporat besar dengan menyewa ruang pejabat yang besar, perabut yang mahal dan menggajikan pekerja untuk pelbagai kerja! "Invest in people, believe in people".  Ini teramat penting, dan ramai CEO/Usahawan berjaya memiliki prinsip ini. Maksudnya, hantar pekerja anda untuk mengikuti pelbagai program latihan dan kemajuan, berbengkel, berkursus, seminar, ceramah agama, program pembangunan profesional, dan sebagainya. Apabia anda menjaga pekerja anda, mereka akan menjaga syarikat anda! "Take care of your employee with your heart and mind, they will take care of your company with their hearts and minds"

Beliau juga berpesan "Know where you are in business cycle". Ini penting kerana perniagaan dan industri ada pasang surutnya. Banyak perniagaan telah lingkup dan hilang ditelan zaman apabila tidak berubah, tidak melakukan inovasi, walaupun mereka adalah pemimpin industri suatu ketika dahulu. Lihatlah Kodak, dahulunya pemimpin dalam industri kamera di dunia, sekarang telah tiada. Di mana pager, mesin taip, dapur minyak tanah dalam dunia hari ini?  Adakah usahawan tidak melakukan kesilapan dalam perniagaan? Mana-mana usahawan tetap melakukan kesilapan dalam perniagaan. Kesilapan James Dyan dalam 'start-up' beliau adalah "I didn't invest enough in myself". Ini antara prinsip usahawan berjaya iaitu sentiasa belajar dan terus belajar. Jangan hantar pekerja sahaja untuk belajar dan memperbaiki diri mereka', kita juga perlukan "upgrade", sentiasa dikemaskini dengan ilmu pengetahuan terbaru, kemahiran terbaru, kompetensi terbaru, teknologi terbaru, dan inovasi terkini. 15 tahun dahulu, 10 syarikat terbesar di Wall Street adalah syarikat seperti Coca-Cola, IBM, dan Exxon, kini syarikat terbesar di Wall Street adalah syarikat berasaskan ICT seperti Apple, Google dan Amazon. Kesilapan kedua bagi beliau adalah "I didn't invest enough in business such as office space etc." Ini beliau maksudkan apabila syarikat sedang berkembang di mana tanggapan pelanggan/bakal pelanggan adalah penting. Beliau bercerita mengenai bakal pelabur yang datang dari luar negara, tapi pejabatnya 'kelihatan teruk' dan bakal pelanggan tiada keyakinan dengan syarikatnya. Dalam sesetengah perniagaan, imej yang kita bina adalah penting kerana ia mempengaruhi pelanggan, bakal pelanggan, bakal pelabur dll.

Ucapan aluan oleh Profesor dari Wharton

Jangan kedekut dalam berniaga. Untuk itu, James Dinan berkongsi pertumbuhan dan kejayaan syarikatnya dengan pekerjanya. Beliau kini memiliki 14 rakan kongsi dalam perniagaannya yang terdiri daripada pekerjanya yang turut mempunyai ekuiti dalam perniagaannya.  Untuk berkembang, syarikat beliau membuka cawangan di London, iaitu berbeza 5 jam jurang masa dengan New York. Nasihatnya ketika membuka cawangan di London adalah "You can't do micro management, You need somebody independent, self-confident".  Perkara utama di sini adalah jika anda terpisah dengan cawangan anda kerana jarak yang jauh dan masa yang berbeza, maka anda memerlukan kualiti yang sama seperti kualiti pekerja anda masa kini, akan tetapi dua kualiti tambahan yang anda perlukan adalah "seseorang yang boleh bekerja secara bebas, tanpa arahan dan kawalan secara langsung dan seorang yang berkeyakinan tinggi". Beliau bercerita mengenai pekerja yang diambilnya untuk cawangan di London yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan begitu baik (Warga Peranchis) tetapi berjaya kerana boleh bekerja dengan bebas dan berkeyakinan tinggi (Bahasa boleh dipelajari dan ditambahbaik apabila sudah mula bekerja).  

Terdapat beberapa falsafah, konsep dan prinsip tentang kepemimpinan dari beliau. "Great keader makes great difference". Pertamanya, kita perlu tahu dan percaya bahawa kepemimpinan boleh dipelajari, boleh ditambahbaik, ianya bukan sekadar dilahirkan. Dengan itu, kita boleh memperbaiki, mempelajari, dan menambahbaik kepemimpinan kita dari semasa ke semasa. Jangan berpuas hati dengan prestasi kepemimpinan anda walaupun anda sudah berada di kemuncaknya. Usahakan, teruskan untuk memperbaiki diri anda, ilmu anda, kemahiran anda, kompetensi anda. Letakkan sasaran di tempat lebih tinggi agar anda tidak berhenti belajar dan menambahbaik diri anda. Contohnya, saya meletakkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris saya boleh mengarang karangan seperti Shakespeare supaya saya terus memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris saya...he3 Saya perlu menguasai Bahasa Arab, sekurangnya dapat memahami apa yang saya baca di Al-Quran dan akhbar Arab (tapi tidaklah sampai ke peringkat mentafsir)...Saya meletakkan sasaran membaca berapa buah buku dalam tempoh setahun. Sekarang saya sibuk membeli dan mengumpul Buku Bestseller (New York Times Bestseller, Wall Street Bestseller, National Bestseller dll) di Amazon, ada yang dah habis baca, ada yang akan dibaca di Malaysia. Saya juga membeli dan membaca buku yang dicadangkan oleh CEO terkemuka seperti Bill Gates, Mark Zuckerberg dll. Satu yang saya suka di USA adalah industri buku terpakai yang amat besar dengan harga yang murah. 95 peratus  buku yang saya beli adalah buku terpakai melalui Amazon dan AbeBooks. Tanpa meletakkan standard di tempat yang lebih tinggi, atau tanpa satu cabaran baru, kita sering berpuas hati denga pencapaian semasa, kita akan leka dan lalai, kita akan ketinggalan, kerugian dan akhirnya tidak relevan, hilang dalam industri/bidang yang diceburi.

Kepemimpinan juga menurut James Dinan adalah "Leadership is taking responsibility whether you know or not." Ehmm, bermakna kepemimpinan adalah mengenai tanggungjawab dan amanah dan anda bertanggungjawab terhadap amanah yang anda pikul sama ada anda tahu atau tidak, seperti pekerja anda dan tanggungjawab mereka. Menurut beliau lagi,  "As a leader, you set the work ethic, the culture. On work ethics, how you conduct yourself is very important.....I work long hours." Ini satu lagi yang penting, saya suka guna istilah amanah dan integriti. Jika kita mengharapkan pekerja berdisiplin, kita harus berdisiplin. Jika kita mengharapkan pekerja tidak mencuri tulang, kita perlu tunjukkan contoh tidak mencuri tulang. Jika kita mengharapkan pekerja bekerja lebih lama, anda perlu bekerja lebih lama. Slogan kepemimpinan melalui teladan adalah  dari Junjungan Nabi SAW sebenarnya. Orang Melayu ada peribahasa "bapak borek anak rintik", Ke mana tumpahnya kuahkalau tidak ke nasi” yang amat sesuai diaplikasi secara positif ke dalam organisasi. 


Sebagai pemimpin, "Action speaks louder than any corporate memo."...Hahaha, ini menarik, jangan pemimpin hanya pandai bercakap tetapi tidak mengotakan apa yang dicakap. Pemimpin jangan hanya pandai mengarah, tetapi pemimpin perlu tunjukkan contoh teladan kerja yang berkualiti. Kepemimpinan alaf baru amat berbeza dengan kepemimpinan di dekad 1970-an sehingga penghujung 1980-an. Nilai, pandangan alam, sikap, dan jati diri manusia berubah, kita tidak boleh mendidik dan melatih manusia dengan cara, kaedah, pemikiran dan gaya lama. "Empathy, what important for them is important for you." Ini memang saya suka dan sentiasa berpesan pada diri saya agar selalu empati dengan orang sekeliling. Jangan buat kat orang apa yang kita tidak suka orang buat kat kita! Ambil berat hal pekerja, mereka akan ambil berat hal kita. Jangan sekadar menggunakan polisi syarikat untuk menghargai pekerja, gunakan perhubungan peribadi, sentuhan kemanusiaan, perasaan dan kasih-sayang dalam menghargai manusia. Beliau menambah "Everyone has to think of as one firm (it works for us)" Ini juga dipanggil wahdatul fikr, kesatuan pemikiran, dalam kalangan mereka di dalam perjuangan berjemaah.  Tidak semua pemimpin berjaya melakukan prinsip ini dalam organisasi mereka, memang susah. Saya kira satu standard yang tinggi berjaya dicapai jika semua pekerja berfikir sebegini. Tentang wang, James memberitahu "Entrepreneurship is incredible, is more than money, is more than a dream. Money is not the most important thing. Get used to deal with the conflict." Sebahagian bilionwan dunia tidak hanya bermotivasi dan teruja berniaga kerana wang. Pada peringkat awal, wang mungkin menjadi salah satu faktor pemotivasi, tetapi apabila perniagaan sudah mantap dan berkembang sehingga berjaya, faktor wang semakin kurang relevan. Kajian PhD saya berkaitan motivasi utama usahawan, ada empat faktor yang utama iaitu "Economic Gain, Perceived Autonomy, Intrinsic Rewards & Family". Hasil kajian saya mendapati tujuan usahawan untuk terus berniaga, mengembangkan dan membesarkan perniagaan, faktor 'Economic Gain' (wang lah tu) memainkan peranan penting, tetapi faktor autonomi/kebebasan dan kepuasan dalaman (intrinsic rewards) menjadi lebih signifikan dan lebih penting. Dalam kalangan usahawan Muslim, faktor agama seperti  berniaga adalah Sunnah RSAW, berniaga untuk membuat kebajikan, berniaga untuk membantu manusia lain dianggap penting. 

Mengenai pekerja, James berpesan "Have diverse talent and diverse gender... How you treat employees, partners, investors etc.?....We usually don't fire people."  Ini merupakan satu tren utama dalam dunia perniagaan dan keusahawanan hari ini. Diversiti adalah satu kekuatan, bukannya satu masalah atau punca kelemahan. Bagi usahawan Muslim dan usahawan Melayu, minda dan sikap serta cara berniaga harus ditukar. Jangan hanya sekadar berniaga sesama Muslim. Lebih 80% syarikat yang memperolehi Sijil Halal JAKIM adalah syarikat bukan Islam yang mengeksport produk halal mereka ke seluruh dunia. Jangan hanya mencari eksekutif dan pekerja dalam kalangan kaum Melayu, pelbagaikan staf anda, pelbagaikan sasaran pelanggan anda daripada pelbagai kaum dan bangsa. Layan pekerja, pelanggan, rakan kongsi, pemegang saham anda dengan baik sebagaimana anda mahu dilayan dengan baik oleh orang lain. Yang ketiga tu saya suka, jangan mudah-mudah pecat/buang pekerja sepertimana sebahagian Korporat Barat, ada masalah saja, nak buang pekerja dahulu. Memang perniagaan memerlukan keuntungan untuk terus hidup, tetapi jangan mencari keuntungan maksimum sepertimana dunia Kapitalis. Saya selalu sebut dalam kuliah di UKM, hatta syarikat anda untung sedikit, tetapi anda memiliki 1,000 orang pekerja yang mana 4,000 orang bergantung sumber pendapatan kepada syarikat anda, ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan. Anda telah membantu ramai umat manusia untuk hidup melalui perniagaan anda. Anda mungkin tidak tahu, tetapi syarikat anda mungkin telah membantu Pakcik Pengawal Keselamatan menyekolahkan anaknya sehingga ke universiti. Anda mungkin tidak sedar, tetapi syarikat anda telah membolehkan seorang anak muda menyara ibu-bapanya yang susah dan miskin di kampung. Anda mungkin tidak perasan, tetapi syarikat anda telah membolehkan ramai umat Islam membayar zakat, satu tuntutan dalam Islam. Dalam sibuk mengejar KPI, jangan dilupa perkara ini, kerana ini juga merupakan sebahagian konsep Islam sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. 

James Dinan

Sebahagian korporat dan usahawan di Barat pun sudah berubah dan beralih serta tidak fokus kepada keuntungan maksimum. Walaupun usahawan Barat tidak berniaga 'kerana Allah Taala',  mereka mencari formula terbaik untuk berniaga dan mendapatkan keuntungan yang sekadar mencukupi, tidak merosakkan kesihatan manusia, memberikan manfaat untuk manusia, tidak merosakkan alam sekitar atau dipanggil 3P,.. "People, Planet and Profit." Konsep perniagaan masa kini dan masa depan haruslah sekurang-kurangnya memenuhi kerangka 3P ini. Ingat Perniagaan perlu 'mesra manusia', memenuhi konsep insani, tidak menjadikan manusia sebagai 'haiwan yang hanya ingin memuaskan nafsu dan kehendaknya semata-mata',  tidak merosakkan manusia dan sistem kehidupan manusia, tidak merosakkan alam sekitar, fokus kepada segala jenis kaedah  untuk memelihara dan memulihara alam sekitar, dengan 'Profit' adalah penghujungnya, bukan matlamat utama setelah dua P awal dipenuhi. Sepanjang 14 bulan saya di Wharton dan UPenn, pelbagai inovasi produk baru dicipta untuk dua P yang awal, bukan untuk P yang ketiga!!!

Penceramah turut menyatakan "Never over pay even if you have money." Kalau anda baca tentang gaji CEO di Barat (hatta di Malaysia), kadang-kadang saya agak risau apabila melihat gaji CEO yang terlalu tinggi. Terlalu bernilaikah CEO yang sebulan gajinya menyamai gaji beribu-ribu pekerjanya? Adakah Korporat Malaysia perlu mengikut Korporat di Barat? Adakah kita perlu membayar gaji yang terlalu tinggi untuk CEO GLC? Gaji yang terlalu tinggi untuk CEO memberikan ibarat pekerja lain tidak penting dan CEO sahaja penting. Tiadakah kaedah lain untuk merekrut dan mengekalkan CEO ini selain ganjaran kewangan? Ganjaran kewangan memang penting tetapi kita tidak seharusnya menjadikan ia sebagai matlamat utama dan kaedah utama. Saya pun sukakan gaji yang tinggi tetapi saya sendiri tidak mahu gaji terlalu tinggi. Pembangunan insan harus melihat aspek lain pada manusia, bukan sekadar 'haiwan yang bermotif ekonomi semata-mata'. Kita harus membangunkan CEO Malaysia pada garis insan bertaqwa, tawadhuk dan menyedari misinya sebagai khallifah Allah di muka bumi. 

Setelah lebih 30 tahun dalam perniagaan, James Dinan juga tidak sekadar fokus pada perniagaannya. "It's time to look for something else." Ini satu tren CEO di Barat di mana mereka fokus kepada usaha-usaha kemanusiaan seperti membina sekolah dan membangunkan manusia di negara-negara miskin, pelaburan dalam R&D untuk menemui penawar penyakit-penyakit kronik seperti barah, menyalurkan dana berupa endowmen kepada universiti, menubuhkan badan kebajikan khusus untuk membantu manusia yang tidak bernasib baik, dan macam-macam lagi. Sebagai Muslim, saya amat yakin bahawa setiap kebaikan dan kebajikan akan dibalas Allah, sama ada di dunia atau di akhirat, tetapi saya belum melihat kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan yang mencapai standard di Barat oleh jutawan Muslim di Malaysia. Adalah beberapa orang, tetapi belum cukup menyeluruh. Mengapa? Adakah jutawan kita terlalu mementingkan diri sendiri? Apa yang tidak kena dalam sistem pendidikan, sistem kehidupan, atau pandangan alam kita? Saya dah beli dan sedang menunggu (melalui Amazon) sebuah buku "Give and Take: Why Helping Others Drives Our Success", oleh Adam Grant, seorang Profesor di Wharton yang saya pernah bertemu dalam In-House Seminar di Wharton (Profesor Adam Grant merupakan salah seorang 25 pemikir pengurusan berpengaruh masa kini dan 'World Top 40' bagi Profesor di bawah usia 40 tahun). Moga-moga saya dapat memahami kerangka pemikiran Barat dalam hal ini.

James Dinan juga bercerita tentang rancangan pewarisan firmanya (Succession Planning). Tidak semua organisasi, sama ada awam dan swasta mempunyai Rancangan Pewarisan yang baik dan berkesan. Saya agak lama dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA), dari zaman prasiswazah (tahun 1995), dari zaman menjadi pensyarah (Tahun 2000) sehingga sebelum datang ke Wharton. Saya aktif dari AJK biasa sehingga menjadi Pengerusi JK Pendidikan dan Penyelidikan dan diberikan amanah sebagai Pengerusi Anugerah Francais Malaysia dari 2011-2015. Dalam NGO seperti MFA, mewujudkan Rancangan Pewarisan juga bukanlah mudah kerana ia kerja kebajikan untuk industri dan negara. Satu formula yang saya gunakan adalah mencari mereka yang punyai komitmen kerja dan  kualiti kerja sekurang-kurangnya seperti saya, dan Alhamdulillah, saya menemui pewaris yang sesuai. Rancangan Pewarisan juga merupakan "Multi-year process/plan", James mengakui bahawa bukanlah mudah bagi beliau, "It's hard to walk away." tapi beliau juga menyatakan "Know when to walk away".  Mengundur diri apabila tiba masanya memang sukar, apatah lagi jika anda yang mengasaskan dan mengembangkan empayar perniagaan anda tetapi ia perlu dilakukan apabila masanya sudah tiba. Jangan perasan anda relevan sepanjang masa, jangan merasakan anda sahajalah terbaik sepanjang masa, dan tiada pengganti yang sesuai (khususnya untuk orang politik....he3). Dengan rancangan pewarisan yang baik, organisasi akan mengalami transisi yang betul dari orang yang hebat kepada orang yang hebat juga. James memberikan petuanya,  dengan menyatakan "Don't get a clone", "Key success at organizational success is quality". Betul tu, jangan cari mereka yang serupa dengan anda, cari mereka yang punyai kualiti yang hebat, walaupun latar belakang, pendidikan, gaya kepemimpinan, sifat dan pendekatan berbeza.  Cari, rekrut, latih, bimbing dan didik mereka yang boleh membina perniagaan untuk masa depan. "Always be a business for tomorrow", kata James lagi. Saya telah melihat bagaimana Jack Welch mewariskan General Electric kepada Jeffrey R. Immelt, Bill Gates mewariskan Microsoft kepada Steve Ballmer dan kemudiannya kepada Satya Narayana Nadella, dan Apple diwariskan daripada Steve Jobs kepada Tim Cook. Ada sesuatu yang kita boleh pelajari dari Barat, di sebalik kekalutan dan kelemahan mereka.

James Dinan juga menyatakan "Fossil fuel will be almost obsolete in your life time." Ehmmm, saya dah lihat di beberapa negara Eropah yang mula menghadkan penggunaaan kenderaan berasaskan tenaga karbon dalam tempoh tertentu, mewujudkan sasaran baru untuk kenderaan menggunakan tenaga elektrik, penjanaan tenaga berasaskan tenaga boleh diperbaharui, dll dalam tempoh 15-25 tahun lagi. Dalam 5 tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin laju dalam bidang ini, tetapi kita sepatutnya lebih laju. Berbanding negara 4 musim yang musim panasnya singkat, siangnya pendek, Malaysia punya cahaya matahari yang panjang dan panas sepanjang tahun, kita perlu mengoptimakan sumber ini selain sumber angin, gelombang laut, bahan pelupusan dll. Tanpa bekalan tenaga yang pelbagai dan boleh diperbaharui, 'Malaysia akan bermasalah pada masa depan!'

Ada pelajar bertanya beberapa soalan kepada James Dinan. "What Do I need?" James memberikan nasihat meminta pelajar banyak membaca, "I love reading", katanya walaupun kata beliau juga, "I don't rely on business book". Beliau membaca dan mendengar "Bloomberg News, Top News, Financial Times, New York Post, much more international readings..., Economics every week." Ehmm, samalah dengan saya, suka pun suka membaca, "I love reading tooo"...he3... Saya membaca pelbagai bahan berita supaya tidak terpengaruh dengan propaganda satu sumber berita dan dapat membuat analisis setepat mungkin, antaranya Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakah, Malaysiakini, The Star, CNN, BBC, Al-Jazeera, NY Times, CNBC....Sebagai pensyarah bidang pengurusan strategik dan keusahawanan, saya dilatih dan dididik dengan alat-alat untuk menapis, menganalisis, menghubungkan maklumat dan membuat rumusan...he3. Ketika ditanya tentang kelas terbaik semasa beliau sambung MBA di Harvard Business School, James Dinan menjawab "Leadership Class".  Pasti kursus Kepemimpinan di HBS mengujakan. Berbalik kepada point awal, jika kita percaya bahawa kepemimpinan boleh dipelajari, diperbaiki dan ditambahbaik, maka kita boleh mempelajari, memperbaiki dan menambahbaik kepemimpinan diri kita, dan begitulah sebaliknya.

Alhamdulillah, habis juga penulisan hari ini. Dari selepas Zohor saya menulis, diselang-seli dengan buat kerja penyelidikan, berhenti solat, makan, rehat sekejap, akhirnya siap juga. Saya menulis dari hati saya sendiri, saya tidak menulis untuk mendapat pujian atau kejian orang. Orang suka atau benci tulisan saya, itu bukan urusan saya. Harapan saya cuma satu, moga ada manfaat atas tulisan saya ini. Wassalam.