24 Oktober 2015, bersamaan 11 Muharram 1437, jam sekitar 400 petang, kami meninggalkan rumah tersayang di Bandar Baru Bangi. Rumah kami ini tidaklah sebesar mana, tapi Alhamdulillah, beli pada tahun 2000 dengan harga RM138+++, kini kalau dijual tanpa renovasi pun sudah boleh mencecah RM400-450K. Pasaran hartanah mengalami loncatan harga yang mendadak, tanpa sokongan dan bantuan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang tmemberangsangkan, generasi masa depan bakal tidak memiliki rumah/kediaman. Rumah atau kediaman adalah salah satu keperluan asasi manusia, selain pakaian, makanan, kesihatan, pendidikan, dan juga 'agama'. Seharusnya Kerajaan Persekutuan melalui dasar fiskal dan dasar pembangunan mempermudahkan rakyat memiliki kediaman, khususnya kediaman pertama. PRIMA sudah ada dari segi dasarnya, tetapi pembinaannya masih belum jelas di mana, berapa harga dan berapa banyak yang akan dibina. Begitu juga Kerajaan Negeri, baik dari pemerintah mahupun pembangkang, wajar melaksanakan dasar perumahan negeri yang mesra rakyat, bukan mencari keuntungan atas perumahan, yakni keperluan asasi manusia kerana kerajaan negeri berkuasa atas tanah, dasar negeri dan Arahan Pembangunan.
Kita memerlukan pemikiran politik baru, melangkaui sempadan politik 50 tahun yang lalu. Walau siapa yang dipilih menjadi pemerintah pusat dan negeri, wajar mengenepikan kepentingan dan sentimen masing-masing, bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Itu yang harus diutamakan. Saya kira ramai yang mendapat pendidikan di luar negara agak kecewa dengan suasana politik yang 24/7, tak habis-habis bergaduh, berbalah tentang politik. Sekarang masa untuk bekerja untuk rakyat. Laksanakan amanah yang dipikul sebaik-baiknya. Ingatlah ayat kelapan, sambungan kepada ayat ketujuh dalam posting saya sebelumnya:
وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” ( Surah Az-Zalzalah: ayat 8 )
Jika amanah dipikul dengan melaksanakan kejahatan, walau sekecil mana kejahatan, akan mendapat balasan dari Allah SWT. Sebab itu, saya sendiri biasanya tidak memikirkan balasan kepada orang yang buat apa-apa kepada saya. Cukuplah janji Allah kepada saya. Biarlah Allah sahaja yang memberikan balasannya kepada sesiapa yang membuat kejahatan kepada saya. Tidak perlu pening-pening, geram, gundah gulana dalam memikirkan balasan kepada orang yang menganiaya, menzalimi kita, cukuplah Allah bagi kita, cukuplah janji Allah kepada kita. Tidak yakinkah anda dengan janji Allah Taala?
Sebelum meninggalkan rumah, anak kedua, Shah Azrul Nazim Suffian yang melaungkan azan. Agak sukar juga memujuk beliau melaungkan azan untuk kami sekeluarga kerana sifat pemalunya di hadapan orang lain. Saya suka mendengar beliau azan kerana ia sedap didengar, lunak dan sayu. Kali pertama mendengar beliau melaungkan azan di hadapan orang lain ketika menghantar anak sulong kami ke KLIA pada bulan Ogos 2015, dalam misinya menyambung pengajian di Mesir. Entah kenapa, hati saya amat sedih meninggalkan rumah dan tanahair ketika habis laungan azan Nazim itu. Kesedihan itu ditutupi dengan lillahi taala, cukupkah buat sesuatu, buat apa sahaja lillahi taala. ......Cukuplah Allah menjadi Penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung
(Al-Imran : 173)

Meninggalkan bonda tercinta di tanahair merupakan satu keputusan yang amat sukar sepertimana saya tulis dalam posting sebelumnya. Bagi anda yang dibesarkan oleh ibu tunggal akan faham maksud saya, apatah lagi ayahanda meninggalkan kami ketika kami masih begitu kecil. Namun, saya tinggalkan bonda juga, lillahi taala, 'serah beliau kepada Allah taala', redha atas segala ketentuan dari-NYA. Hidup sebagai anak yatim sebenarnya mempercepatkan pendewasaan saya dan adik-beradik yang lain. Kami cukup dengan apa yang ada di rumah, dengan apa yang dimakan, dengan pakaian yang disediakan. Hanya orang susah tahu dan faham erti dan makna kesusahan.
Kekanda Haslan di kiri sekali dan Adinda Hazlisham di kanan sekali. Seorang laki kekanda saya, Hazlim tidak dapat turut serta atas urusan yang pelbagai. Saya sebenarnya sudah berpesan kepada adik-beradik, tidak mengapa kalau tidak dapat menghantar di KLIA kerana zaman teknologi ini, masa dan jarak sudah tidak lagi menjadi penghalang. WA, FB, Telegram, Messenger, Viber, WeChat, Google Video, VoipStunt dan lain-lain ada. Perkampungan Sejagat sudah menjadi realiti...
Dari kiri, Sdr Haziman, sahabat baik dari zaman di UK sehingga ke Malaysia. Beliau menetap di Nilai, isteri beliau seorang pensyarah di USIM. Dari kanan, Sdr Sh Usman Yousaf. pelajar PhD pertama saya yang viva dan habis. Beliau dari Pakistan. Pelajar dari Pakistan memang terkenal dengan komitmen kerja dan berdedikasi. Alhamdulillah, saya sempat memberi peluang beliau menghadiri dan membentangkan kertas kerja dalam 3 persidangan, salah satunya mendapat Best Paper Award, juga menulis 4/5 artikel jurnal bersama beliau dan rakan lain untuk penyelidikan saya sebelumnya.
Isteri Sdr Usman Yousaf dengan isteri saya. Rezeki isterinya dapat biasiswa dari kerajaan Malaysia untuk buat PhD di UKM (selepas suaminya memulakan dahulu) dan beliau juga sudah hantar tesisnya dalam tempoh tidak sampai 3 tahun (kini menunggu viva). Saya tidak melihat pelajar dan keluarga pelajar PhD saya sebagai pelajar, tetapi sebagai saudara segama, tetamu yang perlu dibantu dan diraikan. Kita mungkin merasakan adat dan budaya orang Melayu menghormati seorang guru cukup baik, tetapi pengalaman saya dengan Sdr Usman dan isteri, orang Pakistan lebih lagi dalam menghormati dan memuliakan seorang guru.
Putera sulong saya dah 13 tahun, dah anak teruna...Mendidik anak sekarang tidak sama dengan zaman kita dahulu...Nazim bakal merasai tiga sistem pendidikan, dari UK (2006-2010), Malaysia (2010-2015) dan kini US (2015-2017).....September 2016 Nanti, beliau akan memasuki High School di US...
Muhammad Kamil Nurullah, putera kedua, anak ketiga baru 9 tahun...Saya gelar beliau 'kanak-kanak riang' sebab riang dan gembira selalu...sebenarnya seorang yang amat manja dan suka dimanjakan...
Senyum dan gembira juga walaupun hati diselaputi kesedihan.
Kekanda sulong kami, Haslan...
Adinda bongsu saya, Hazlisham, aktif pengakap dari zaman sekolah rendah dan merupakan salah seorang Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang...Arwah ayah kami dulu memang orang kuat Pengakap...
Permaisuri Hatiku...lagu nasyid dendangan kumpulan Hijjaz merupakan lagu rasmi saya dan isteri...
Isteri sebak berkomunikasi dengan anak sulong, satu-satunya puteri kami melalui Facebook Messenger sebelum berlepas... Penzahiran kasih-sayang seorang ayah tidak sama dengan seorang ibu. Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang zaman, kata orang tua-tua. Seorang ayah akan 'menahan segalanya' di dalam hatinya, jarang benar dizahirkan. Kelihatan anak bongsu kami, Muhammad Hafiz Zikrullah yang baru berusia 6 tahun. Mungkin kerana lahir di Birmingham, UK, beliau tidak suka/tahan masakan pedas tidak seperti ayahnya..:-)
Masa berpisah sudah tiba...
Selepas Allah dan Rasul, bonda merupakan individu terpenting bagi seorang anak lelaki.
Saya bukanlah seorang anak yang baik, tetapi sentiasa berusaha menjadi anak yang baik bagi seorang ibu...
Seorang lelaki sejati tidak perlu malu menitiskan air mata kesedihan....Perasaan adalah sebahagian dari diri kita...
Bersama keluarga sebelah bonda saya
Bersama anak saudara kesayangan si isteri...sebelah kiri
"Anak-anak" saya, dua orang pelajar BEI tahun 3 dan tahun 2 yang turut serta
Keluarga Usman bersama bonda saya...
Kaunter semakan Pas Berlepas
Bersama keluarga Sdr Haziman Ahmad
Bersama keluarga Sdr Usman
Semak tiket dan pas berlepas
Lambaian terakhir sebelum imigresen
Panjang umur, murah rezeki, dilapangkan masa, kita berjumpa lagi.
Doa saya sentiasa bersama bonda dan saudara-saudara saya
Penerbangan kami melalui Qatar Airways pada 24 Oktober 2015 di KLIA terlewat dalam 20-25 minit. Kami tiba di Doha agak terlewat. Jarak transit 2 jam memang terasa begitu cepat kerana kami hanya ada masa dalam 1 jam 20-30 minit apabila pesawat lewat bertolak dari KLIA. Terkejar-kejar juga keluar dari kapal terbang, melalui kawalan keselamatan, kemudian sampai ke kawasan terminal, cari Balai Berlepas seterusnya, melalui lagi kawalan keselamatan, dan kemudian masuk dalam kapal terbang seterusnya. Kami antara orang terakhir yang memasuki pesawat. Alhamdulillah, sempat juga. Umumnya, pesawat akan menunggu memandangkan kami sudah "boarding' di KLIA dan bagasi sudah pindah masuk ke dalam perut kapal terbang. Berbanding Penerbangan KLIA-Doha yang dipenuhi pelbagai etnik manusia, penerbangan Doha-Philadelphia dipenuhi Orang Putih.
Kami selamat sampai di Philadelphia jam 810/820 pagi, 25 Oktober 2015, hari Ahad. Sekitar 24 jam kami dalam penerbangan (7 jam 30 minit KLIA-Doha dan 13 jam 30 minit Doha-Philadelphia; 1 jam 30 minit termasuk waktu transit). Alhamdulillah, urusan imigresen dan kastam berjalan lancar, apatah lagi kami orang terakhir. Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia tidaklah besar mana. Sdr. Azhari, suami kepada Dr. Puteri (Pensyarah Perubatan UPM) yang membuat sub-kepakaran di Children's Hospital, UPenn dan Sdr Mior menunggu kami di Lapangan Terbang. Selain beg dibawa kenderaan Sdr Azhari, Kami sempat menaiki Shuttle ke rumah Sdr Azhari untuk menginap dalam beberapa malam sementara mencari dan mendapatkan rumah sewa. Umumnya kami bawa 9 beg besar, 1 kotak besar, dan empat beg kecil (memandangkan kami dibenarkan membawa 2 bagasi setiap seorang, satu bagasi maksimum 23 kg. oleh Qatar Airways). Alhamdulillah, makanan Malaysia lebih 50kg selamat melepasi kastam dan mendarat di bumi Philadelphia, :-)... Insya-Allah, selepas ini, saya akan berkongsi aktiviti-aktiviti di Wharton, Philadelphia dan Amerika Syarikat. Wassalam.
*Sebahagian besar gambar di sini ihsan dari Sdr Usman Yousaf. Apabila tiba di AS, beliau mengemel saya kemudiannya, menyatakan kehilangan seorang big brother, a fatherly figure and a best friend. Saya mendoakan beliau dan isteri serta keluarga berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Seorang penyelia, bukan sekadar penyelia menurut perspektif Barat. Seorang penyelia adalah seorang Murabbi, mendidik pelajar PhDnya dengan penuh keikhlasan, 'tidak berniat menyusahkan pelajarnya', mencurahkan segala ilmu, pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya kepada pelajarnya. Seorang Sarjana bertanggungjawab melahirkan seorang Sarjana lain. Seorang Murabbi sebolehnya mahukan pelajarnya menguasai segala ilmu, kemahiran, disiplin, nilai, prinsip hidup yang dimilikinya, mengharapkan pelajarnya lebih cemerlang dari dirinya, mengharapkan pelajarnya mampu menyumbang kepada dunia ilmu, membaiki masyarakat, menyelesai masalah industri dan membina ketamadunan manusia.
No comments:
Post a Comment