Saturday, 7 November 2015

Bermula Sebuah Kelana Ilmu

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera para pembaca,

Di mana saya harus bermula? Kami sudah dua minggu di Philadelphia, Amerika Syarikat. Alhamdulillah, kami selamat tiba di sini pada 25 Oktober 2015, Ahad, dua minggu lepas. Ia merupakan satu kelana ilmu kedua yang diizinkan Allah untuk saya sekeluarga dalam kehidupan di dunia yang tidak lama ini. Kelana ilmu pertama adalah ketika saya menyambung ijazah doktor falsafah di  University of Essex, United Kingdom dari tahun 2006-2010 yang lalu. Dengan izin Allah, saya akan coretkan serba sedikit pengalaman di UK apabila berkelapangan.  

Perjalanan menyempurnakan ijazah PhD bagi diri saya tidaklah mudah. Pelbagai masalah dihadapi apabila berkelana ke luar negara kali pertama. Enam tahun juga masa diambil dari mula mendaftar sehingga mendapat ijazah PhD. Pelbagai masalah yang timbul dalam mendapatkan segulung ijazah PhD, satu tiket untuk bergelumang dalam dunia akademik pada zaman moden ini.  Apapun masalah dan masa yang diambil, ada hikmahnya di sisi Allah. Selepas habis PhD, dan setahun kebelakangan ini baru saya memahami hikmah di sebalik pelbagai kesukaran dalam menyempurnakan satu amanah dari UKM dan negara. 

Perjalanan kelana ilmu kedua ini bermula dengan sebagai ketentuan dari Ilahi. Maksudnya, selepas berkhidmat di UKM sebagai tutor semenjak Mac 1997, menjadi pensyarah pada penghujung 1998, dinaikkan pangkat ke jawatan pensyarah kanan pada  penghujung 2006, mendapatkan ijazah PhD bulan Oktober tahun 2012, dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2013, segalanya kelihatan baik dan tersusun bagi saya. Bagi aktiviti pengajaran, telah mengajar ribuan pelajar sarjanamuda, telah diberi peluang mengajar beberapa kursus peringkat sarjana dalam program MBA UKM-GSB dan dalam program Sarjana Keusahawanan dan Inovasi (MEI) FEP UKM. Bagi aktiviti penyelidikan, Alhamdulillah, berpeluang menjalankan puluhan projek penyelidikan, selain bersama-sama rakan mendapatkan geran penyelidikan GUP UKM, GGPM UKM, FRGS dan KTP KPT. Begitu juga berpeluang terlibat dalam beberapa projek perundingan dengan KPDNKK, MPOB, DBP, WOU dan beberapa syarikat swasta. Alhamdulillah, dari segi penerbitan, saya telah menulis lebih 60 artikel dalam jurnal dan prosiding, bersama rakan sejawat mengarang 14 buah buku tentang pengurusan strategik, keusahawanan, pengurusan dan Perniagaan Islam, menterjemah dua buah buku, dan sebagai editor empat buah buku. Sebagai ahli akadmik, saya telah membentangkan/menghadiri lebih 50 persidangan dalam negara dan luar negara. Terima kasih kepada UKM atas peluang ini. 

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan menyelia 5 orang pelajar PhD, di mana seorang baru viva, seorang tidak lama lagi, dan tiga masih jauh walaupun tiada program PhD di Pusat Pengajian Pengurusan FEP UKM, menjadi penilai bebas beberapa Proposal Defense dan Viva di UKM, USIM dan UPM selain menjadi penilai bebas artikel untuk beberapa jurnal dan persidangan. Atas tanggungjawab sebagai warga UKM yang berdedikasi, saya pernah terlibat dalam 33 Jawatankuasa pelbagai peringkat di UKM, 15 aktiviti pelajar, 10 jawatankuasa penggubalan dan pembangunan kurikulum, sebagai Juruaudit ISO9001: 2008, dan sebagai Penilai Dalaman Jaminan Kualiti.

Selain tugas dan tanggungjawab sebagai ahli akademik, saya terlibat sebagai speaker/trainer/motivator lebih 120 kursus/bengkel berkaitan keusahawanan, perniagaan francais, pengurusan strategik dan pengurusan dengan UKM, JUPEM, Jabatan Statistik Malaysia, KPDNKK, Persatuan Francais Malaysia, PNS, KUIS dan syarikat swasta.  Dari segi khidmat masyarakat, saya telah menilai lebih 30 program pengajian sebagai panel penilai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pernah dilantik sebagai Penasihat Akademik Kolej Profesional MARA, 7 kali masuk TV, 6 kali masuk akhbar dan sudah pasti, penglibatan terbesar saya adalah dengan industri francais Malaysia. Memang sayang sekali saya hendak 'tinggalkan sekejap' penglibatan saya dengan indusri Francais Malaysia, khususnya Persatuan Francais Malaysia (MFA). Saya mula terlibat dengan industri francais Malaysia pada tahun 1995, ketika zaman pelajar, kami membantu MFA menganjurkan Persidangan dan Pameran Francais Malaysia kedua di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Tak kenal maka tak cinta, dah kenal maka jatuh cinta. Di sini, lahirnya  sebuah cinta...saya dengan Francais Malaysia sehingga kini.

Saya kira peranan, tugas dan tanggungjawab saya dengan MFA bermula kembali apabila menjalankan penyelidikan francais di Malaysia, aktif kembali pada tahun 2000 sebagai AJK dan Setiausaha JKK Pendidikan dan Penyelidikan MFA, terlibat dalam pelbagai program latihan khususnya. Sekembali dari luar negara, saya aktif kembali dengan MFA, dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Utama MFA mulai 2011, diberi amanah menjadi Pengerusi Anugerah Francais Malaysia (AFM) 2011-2015, Pengerusi Franchise International Malaysia Conference, Pengerusi Program Francais Siswa selain jawatan rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan MFA.  Semenjak 2011, saya telah melakukan beberapa perubahan dalam AFM dan JKK. Anugerah Francais Malaysia telah melalui transformasi padca tahun 2012 dari segi kerangka kerja penilaian di mana kerangka kerja keseluruhan berasaskan Amalan Terbaik diperkenalkan, kategori baru diperkenalkan untuk francaisor dan francaisi, selain kategori terbuka baru diperkenalkan. Saya agak sentimental  dengan Kategori terbuka kerana kami memperkenalkan tiga anugerah baru iaitu CSR Terbaik, Inovasi Terbaik dan Majikan Francais Terbaik. Yang lebih sentimental  adalah kerana saya terlibat secara peribadi mereka bentuk kriteria penilaian dan syarat penyertaan. Ianya bukan satu kerja mudah. Begitu juga dengan program latihan MFA, di mana saya dan sekretariat MFA sempat merombak semula strutkur program dan kursus serta kandungannya. Teringat kenangan berbengkel di Hotel Quality dan lain-lain hotel sekitar KL dengan sekretariat MFA, pegawai BPF dan rakan-rakan industri.

Penglibatan saya dengan industri francais Malaysia dan MFA adalah situasi menang-menang, saya mendapat pendedahan dan pengalaman berguna tentang industri, membina jaringan dengan berbelas agensi kerajaan, berpeluang menyertai misi perdagangan francais di Singapura tahun 2014, menyertai sanggar kerja di Bandung dan Bangkok, berkawan baik dengan pegawai kerajaan di Bahagian Pembangunan Francais, memahami dan mendalami perkembangan dan permasalahan industri francais Malaysia, mengutarakan cadangan-cadangan kepada kerajaan dalam bentuk dasar dan tindakan, menjalin jaringan dengan francaisor, francaisi, francaisi induk dan pihak berkepentingan industri. Saya belajar mengadakan sidang media melalui MFA, mula masuk TV melalui MFA. MFA adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), segala urusan dan masa saya dengan MFA adalah kerja sukarela, tidak pernah saya menuntut tuntutan tambang, elaun makan/harian dengan MFA, kerana ia adalah kerja sukarela. Saya kira MFA juga tahu, bahawa saya mementingkan kualiti dan kesempurnaan kerja,  komitmen dan kerja saya dengan mereka adalah jitu, tidak pernah pudar walaupun 1001 masalah melanda.

Para pegawai dan kakitangan di Bahagian Pembangunan Francais KPDNKK juga banyak bekerjasama dengan MFA dcan PNS dalam menggerakkan perkembangan industri francais Malaysia. Tahun 2014 juga membawa makna yang besar kepada saya dalam industri francais Malaysia apabila 'baby saya bersama MFA', Program Francais Siswa diperkenalkan. Dengan peruntukan KPDNKK, lapan buah universiti awam dilibatkan dengan program komprehensif dan berstruktur untuk para mahasiswa. Pada tahun 2014, UUM, USM, UKM, UPM, UiTM, UTM, UMK, dan UTEM terlibat. Pada tahun 2015, sebanyak 20 buah Universiti Awam (UA) dan 3 Politeknik Premier dilibatkan. Terima kasih kepada Unit Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut sama berganding bahu dengan BPF KPDNKK dan MFA menjayakan Program Francais Siswa 2015. Pemenang Program Francais Siswa 2015 bakal diumumkan dalam Malam Anugerah Francais 2015 pada 17 November 2015 di Sunway Resort Hotel & Spa (saya dah tahu pemenangnya....he3). Sedikit kesedihan di hati kerana tidak dapat menyempurnakan amanah yang saya galas sehingga ke penghujungnya. Kesedihan hati ini diubat dengan memikul amanah lain yang penting untuk negara. Sebagai ahli akademik, 'saya matang bersama UKM'. Sebagai ahli akademik yang seimbang antara teori dan praktis, saya 'matang bersama' MFA, KPDNKK, MQA, MPC dan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat yang saya terlibat sepanjang kerjaya di UKM. Terima kasih UKM kerana tidak mengawal kami, tenaga akademiknya dalam menentukan hala tuju kami dan bergerak menuju kecemerlangan. 

Berbalik kepada ketentuan Ilahi yang saya bicarakan di peringkat awal, saya boleh dikatakan sedang 'Soaring Upwards' sepertimana tagline baru KPT. Jika saya kekal di UKM, banyak peluang lagi akan muncul, banyak projek penyelidikan sedang dirancang, banyak kerjasama sedang dibina, program Sarjana Pengurusan dan Doktor Pengurusan FEP juga hampir ditawarkan, ijazah PhD terbuka bakal bermula, program Sarjanamuda dan Sarjana  Keusahawanan dan Inovasi FEP UKM sedang dimantapkan, jaringan dengan pelbagai agensi dan  industri menunggu masa untuk dituai hasilnya, ada 10-15 artikel belum ditulis untuk jurnal ilmiah, MQA selalu menelefon bertanyakan kesudian mengambil 'projek baru' (walaupun telah sampai seminggu di Philadelphia), ada beberapa projek pengkomersilan perlu dipercepatkan, banyak perkara yang bermain di minda jika kekal di Malaysia.  Maksudnya, dari sudut akal fikiran kita yang terbatas, adalah lebih baik saya kekal di UKM kerana 'masa hadapan yang cerah'...


Tapi itulah, kehendak Allah Taala tidak sama dengan kehendak kita. Kalau ikutkan kehendak saya, kekal saja di Malaysia. Meninggalkan bonda yang sudah berusia (juga 'ayahanda kami' adik-beradik semenjak ayahanda pulang ke rahmatullah pada tahun 1978) adalah satu keputusan sukar. Jasa dan pengorbanan bonda membesarkan kami empat beradik lelaki dari kecil (5,6,7 & 9 tahun) tiada perkataan dapat digantikan. Namun,banyak kali memohon petunjuk Allah dari tahun 2013 sama ada perlu sambung pasca kedoktoran atau tidak, maka 'jawapan-NYA jelas', ya. Maka saya usahakan semenjak 2014 secara perlahan-lahan. Semenjak Mac 2015, memang sibuk dengan urusan pasca kedoktoran sahaja. Dapat tempat di University of Otago, NZ, tapi tidak boleh pergi sebab tak cukup syarat KPT. Lebih 100 universiti saya mohon, dari Top 200 Times Higer Education Ranking 2015 dan Top 100 QS World University Ranking By Subject, kecuali universiti di Jepun, Korea, China, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan beberapa negara Eropah yang tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajian.  Kebanyakan jawapan menolak kerana tidak ada jawatan/ruang untuk Post Doctoral Researcher/Fellow, dah terlambat untuk pengambilan 2015, tiada kepakaran menyelia, dan tajuk Penyelidikan tiada yang berminat.

Penghujung Mei dan awal Jun 2015, saya dan isteri mengerjakan umrah. Kami memohon agar mendapat universiti yang sesuai semasa di sana. Balik dari umrah, lagi sibuk dengan urusan pasca kedoktoran. Kalau ditanya pendapat saya secara peribadi, memang saya tidak berminat langsung ke Amerika Syarikat kerana jauh dan 1001 sebab.  Begitulah ketentuan Allah Taala. Allah Maha Besar, saya mendapat peluang sebagai Visiting Scholar  ke Snider Entrepreneurial Research Center, The Wharton School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat. Saya tidak menduga dan tidak pernah menyangka akan diberikan tempat sebaik The Wharton (Antara Sekolah Perniagaan terbaik di dunia : ranking kelima QS World University Ranking By Subject 2015).  Hati kita milik Allah Taala jua. Dari tidak berminat, kami sekeluarga jadi 'penuh berminat' untuk ke Amerika Syarikat. Bagaimana saya diterima oleh The Wharton School? Saya tidak ada resepi kejayaan yang luar biasa. Saya orang biasa yang bekerja secara biasa saja cuma mementingkan kualiti dan kesempurnaan. Cuma saya selalu berpesan pada sesiapa sahaja bahawa Islam itu agama yang mudah. Buatlah kebaikan sebanyak-banyaknya. Jangan 'berkira riang dan tenaga'. Jangan hanya mementingkan hasil pada diri sendiri. Jangan terlalu sibukkan dengan 'itu bukan kerja saya', 'itu bukan urusan saya'. Kerana semua itu bermakna kita 'sekular' pada pemikiran, kelakuan  dan perbuatan. Sedangkan janji Allah Taala mudah saja sepertimana maksud dalam ayat 7, surah Al-Zalzalah. Yakinilah bahawa apa sahaja kebaikan di dunia ini, Allah akan memberi balasannya. Tidak cukupkah janji Allah kepada anda? Tidak yakinkah anda dengan janji Allah?

Al-Zalzalah: 7   فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ 
Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.


Lagi pengorbanan diperlukan. Terpaksa menghadiri Kursus BTN di Meru ketika anak sulong akan ke Mesir menyambung pengajian dalam bidang Ulum Islamiyyah di Universiti Al-Azhar.  Saya hanya dibenarkan keluar dari kursus waktu petang untuk ambil dan hantar anak ke KLIA sahaja dan perlu kembali ke Kem untuk sambung kursus selepas anak berlepas malamnya. Saya ingat selepas menghantar anak ke KLIA, saya sampai semula ke Kem jam 500 pagi, tidak tidur dan berehat lebih 36 jam. Alhamdulillah, urusan temuduga cuti belajar peringkat UKM dan KPT berjalan lancar. Terima kasih Sdr Shahril, Kakitangan Cuti Belajar UKM yang banyak membantu saya. Urusan visa dan tiket kapal terbang memang last minute.  Terima kasih UKM dan KPT sebab sempat siapkan elaun panjar sebelum bertolak ke AS. Alhamdulillah, kami dapat naik Qatar Airways, transit di Doha, tidak perlu transit di London dengan syarikat penerbangan berbeza.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di Philadelphia, urusan imigresen dan kastam berjalan lancar. Urusan rumah sewa, buka akaun bank, daftar dan orientasi di UPenn, barangan keperluan asas, daftar anak ke sekolah, Penn Card dan lain-lain berjalan lancar dengan bantuan dan pertolongan Sdr Azhari dan rakan-rakan di sini. Dua minggu di sini, jetlag dah selesai. Memulakan kehidupan baru dengan berbekalkan pakaian dan sedikit bekalan kewangan bukanlah mudah. Bukanlah senang dan mewah hidup dengan biasiswa di luar negara. Biasiswa bagi individu adalah cukup dan lebih tetapi bagi orang berkeluarga seperti saya, biasiswa pun cukup-cukup saja, tidak ada lebih pun. Anak-anak dah dipesan, jangan 'meminta-minta' seperti Malaysia. Makan sahaja apa yang ada, apa yang dimasak, asalkan kenyang. Walaupun tidak boleh berbelanja seperti Malaysia, pasti ada hikmahnya.Yakin sahaja dengan 'petunjuk-NYA'.

Moga-moga saya tidak leka di bumi Amerika. Amanah Besar UKM dan Negara Malaysia sentiasa di minda. Lakukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. Membawa nama 'Malaysia' di bumi Amerika, di The Wharton School, bukanlah satu perkara mudah. Membawa dan mempamerkan imej dan rupa bentuk  Islam, Melayu dan Malaysia ke bumi Amerika, antara tanggungjawab utama. Walau apa ujian dan dugaan yang mendatang, hati ini sentiasa ingat, ketika kesedihan memuncak di hati dan perasaan tatkala melangkah meninggalkan rumah tersayang di Malaysia, tekadkan sebulat-bulatnya kerana DIA,  lillahi taala, semata-mata DIA, segala-galanya lillahi taala, serah sepenuhnya kepada DIA.  Begitulah bermula sebuah kelana ilmu.


No comments:

Post a Comment